Isnin, 9 Ogos 2010

IBADAT PUASA



PENGERTIAN PUASA

1.Puasa dari segi bahasa bererti menahan daripada sesuatu.

2.Manakala dari segi istilah syarak bermaksud menahan diri daripada makan,minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa,mulai terbit fajar sehingga matahari terbenam disertai dengan niat pada malamnya.

3.Puasa sebulan pada bulan Ramadhan merupakan salah satu antara rukun Islam .

4.Puasa Ramadhan mula difardukan ke atas umat Islam pada tahun kedua hijrah.

KENAPA PERLU PUASA ?

“ Wahai orang-orang yang beriman , diwajibkan puasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa.”

( Surah Al-Baqarah :Ayat 183 )

Rasulullah saw bersabda :

“ Islam itu didirikan di atas lima asas, mengucap dua kalimah shahadah,mendirikan solat,mengeluarkan zakat,berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi mereka yang berkemampuan .”

( Riwayat Imam Bukhari )

“ Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya diampunkan baginya dosa yang lepas .”

( Riwayat Imam Bukhari )

APAKAH KELEBIHAN PUASA ?

1.Menjadikan kita sebagai orang yang beriman dan bertaqwa .

2.Mendidik diri kita takut kepada Allah swt sama ada secara terangan atau sembunyi,kerana tidak ada yang memerhatikan orang yang berpuasa melainkan

Allah swt.

3.Melatih diri kita bersifat sabar,amanah dan belas kasihan kepada orang yang susah.

4.Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat-sifat yang tidak baik seperti tamak,kedekut,hasad dengki dan sebagainya.

5.Melahirkan perasaan belas kasihan dan simpati yang membawa kepada sifat dermawan.

6.Membersihkan anggota dalam badan daripada lemak-lemak makanan dan sebagainya.

7. Memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman dalam badan yang bekerja sepanjang tahun.

8.Mendatangkan kesihatan yang baik kepada tubuh badan.

9.Menghindarkan berbagai-bagai penyakit.

APAKAH ADAB-ADAB BERPUASA ?

1.Tidak berludah.

2.Tidak menghabiskan waktu dengan melakukan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah.

3.Tidak melihat,mendengar dan bercakap perkara-perkara yang haram dan keji.

4.Tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.

5.Tidak pergi ke tempat-tempat maksiat.

6.Tidak boros berbelanja untuk berbuka puasa atau makan sahur.

7.Tidak makan dan minum secara berlebihan ketika berbuka dan bersahur.

8.Tidak membanyakkan tidur pada siang hari.

SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA

1.Islam

2.Baligh

3.Berakal

4.Mampu berpuasa

5.Suci daripada haid dan nifas

RUKUN PUASA

1.Niat puasa sebelum terbit fajar

2.Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari

PERKARA SUNAT PUASA

1.Menyegerakan berbuka setelah yakin masuk waktu

2.Makan sahur

3.Melewatkan sahur

4.Membanyakkan membaca al-Quran dan bersedekah

5.Memulakan berbuka dengan buah tamar atau makanan manis

6.Mandi hadas sebelum terbit fajar

7.Menunaikan solat Tarawih

8.Membaca doa sebelum berbuka

9.Membanyakkan amal kebajikan

PERKARA MAKRUH

1.Merasai makanan dengan lidah

2.Menggosok gigi selepas gelincir matahari

3.Mencium isteri atau suami

4.Mengeluarkan darah atau berbekam

5.Tidur sepanjang hari

6.Mandi dengan terlalu banyak

7.Berkumur secara berlebihan

PERKARA MEMBATALKAN PUASA

1.Makan dan minum dengan sengaja

2.Muntah dengan sengaja

3.Melakukan persetubuhan

4.Mengeluarkan mani dengan sengaja

5.Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja

6.Gila walaupun sekejap

7.Pengsan atau mabuk sepanjang hari

8.Melahir anak

9.Keluar haid atau nifas

10.Berbuka sebelum yakin masuk waktu

11.Murtad

SOAL-JAWAB PUASA

S- Adakah sah ibadah puasa seseorang sedangkan dia meninggalkan solat fardu dan melakukan dosa seperti mengumpat ketika berpuasa ?

J- Solat merupakan kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam keadaan apa sekalipun.Maka kalau seseorang itu berpuasa tanpa solat,puasanya itu sah tetapi tidak mendapat ganjaran pahala.

Masalah mengumpat,puasanya tidak batal tetapi pahala puasanya terhapus.Sabda Rasulullah saw bermaksud “ Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang tidak baik bahkan meneruskannya,maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makanan dan minumannya.”

S- Adakah seseorang dibolehkan makan dan minum setelah membatalkan puasanya dengan sengaja seperti memasukan sesuatu ke dalam rongga badan.

J- Puasanya batal tetapi dia wajib menahan diri daripada makan dan minum serta wajar qada.